Sunday, 27 April 2014

Berukhuwah di 'Ain Sukhna

Bismillah...

Ini cerita semalam (Sabtu, 26 April 2014), kami batch Gen 2 ikhwah hampir semua pergi ke jaulah 'Ain Sukhna (sebahagian daripada kami ada urusan seperti kelas, tuisyen, ada yang menjadi pimpinan serta tugasan-tugasan yang lain), kira-kira 1 jam 30 minit dari Kaherah. Seronok dapat berkumpul bersama satu batch, mungkin ada yang tahu dan mungkin ada yang belum tahu yang saya ni batch Gen 2. (ok, tak penting sangat pun.)

Ceritanya bermula seminggu sebelum jaulah, ketua batch kami, saudara Dawodt Khan merancang untuk mengadakan jaulah supaya dapat kami berkumpul sambil berukhuwah meraikan sahabat-sahabat yang sudah lama tidak berjumpa walaupun satu batch. Hal ini disebabkan batch tahun 5 dipisahkan kepada 2 kumpulan, ada yang belajar di Hospital Hussein dan ada juga yang belajar di Hospital Syed Galal, yang lain ada yang mengulang tahun. So, jaranglah kami semua dapat ketemu bertemu mata, melainkan adanya aktiviti batch seperti ini dan juga futsal.

Kami bertolak dari Kaherah ke Ain Sukhna pada pagi itu bermula 7.15 pagi dan sampai pada pukul 9 pagi. Aktiviti di mulakan dengan barbekiu, membakar ayam dan hot dog (sosej). Kemudian, sebahagian daripada kami turun mandi-manda di laut dan bermain futsal di pantai, sungguh menyeronokkan, sudah lama kami tidak bermain bola bersama. Tidak lama selepas itu ayam pun siap dibakar, kami makan bersama-sama dan turun ke laut sekali lagi selepas makan. Air laut di sini kian surut, kurang faham kenapa tapi mungkin disebabkan cuaca yang panas. Aktiviti mandi manda berakhir pukul 2.30 petang, kami membersihkan diri sambil mempersiapkan diri untuk solat dan kami pun solat jamak taqdim berjemaah.

Gambar kenangan di 'Ain Sukhna

Sambil menunggu ayam barbekiu masak

Tepat pukul 3 petang, kami pun mula mengangkat barang dan pulang ke Kaherah. Sampai di Kaherah pada pukul 5.50 petang. Alhamdulillah, pengalaman yang sangat menyeronokkan walaupun jarang-jarang diadakan, saat berkumpul dan berukhuwah bersama tetap menjadi kerinduan kami semua dan apabila bercerita tentang ukhuwah di dalam Islam, ia bukan hanya sekadar berteori malah lebih kepada praktikal sama-sama cakna dengan sahabat satu batch bahkan ukhuwah yang melangkaui sempadan batch, universiti, kaum, bangsa dan tanah air.

Semoga perkumpulan seperti ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang. Buat sahabat-sahabat yang bakal menduduki peperiksaan akhir tahun, teruskan usaha, letakkan pergantungan pada Allah dan semoga mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Seeru 'ala barakatillah. =)

Thursday, 24 April 2014

Korban Usia Muda

Dia langsung tidak terfikir memulakan berdakwah menerusi media baru seperti Facebook dan Twitter serta media elektronik televisyen dan radio. Apa yang bermain di fikiran Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Joofre, 33, sebaik menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Syariah (Feqh Perbandingan Mazhab) di Mesir, hanya ingin turun ke masjid, surau serta majlis ilmu bagi berdakwah.

Semuanya bermula sebaik saja pulang ke Malaysia selepas hampir 12 tahun merantau di Mesir. Ketika itu buat kali pertama dia muncul di kaca televisyen dalam program berita menyebabkan banyak tawaran diterima untuk muncul dalam beberapa program keagamaan, antaranya Tanyalah Ustaz dan Hujah di TV9 serta Assalamualaikum juga Muhasabah Diri di TV Al-Hijrah.

Dari situ, Syed Abdul Kadir bertemu dengan kumpulan nasyid UNIC yang mempelawa untuk menerbitkan album berbentuk dakwah.

“Saya katakan, sekiranya menerusi muzik mampu memberikan sesuatu kepada masyarakat, sekali gus mengajak mereka mencintai Allah dan Rasulullah, ia ternyata cukup bermakna,” katanya yang turut menjadi penasihat syariah UNIC serta muncul dengan album pertama Ratib Al-Hadad serta album kedua bertajuk Doa.

Tidak cukup dengan itu, Syed Abdul Kadir menjadi lebih kreatif menyampaikan dakwah apabila muncul dengan inovasi dakwah terkini menerusi nada dering pemanggil berbentuk tazkirah.

Jelasnya, himpunan lapan tazkirah diberi nama Bersama Kekasih merujuk kepada adab dan sunah Rasulullah yang akan kedengaran oleh pemanggil apabila mendail nombor pelang­gan. Walaupun nampak seakan-akan remeh, ia meninggalkan kesan cukup mendalam kepada pendengar terutama bagi yang mendapat manfaatnya. Ini kerana perkataan kebaikan yang diulang-ulang lama-kelamaan akan menjadi doa dan diharap memberikan sesuatu kepada masyarakat.

Bagi Syed Abdul Kadir, apa saja bentuk dakwah akan dilakukannya bagi mengisi saham akhirat. Dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi maklumat, pendakwah harus kreatif dan berinovasi bagi menarik khalayak yang mempunyai satu aliran dan tujuan hidup yang sama.

“Pendakwah hari ini tidak lagi boleh menggunakan cara lama untuk berdakwah, sebaliknya harus mengikut arus dan perkembangan teknologi maklumat. Cara ini mampu menarik lebih ramai khalayak pendengar yang mempunyai tujuan hidup yang sama,” jelasnya.

Mengenai kebangkitan ramai pendakwah muda yang aktif dan interaktif menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai, pantas dia memberitahu, hanya orang muda mengenali orang muda. Selain mempunyai corak pemikiran serta jiwa yang sama, pendakwah muda menerusi media sosial seperti Facebook, blog dan Twitter serta terkini menerusi muzik memberi lebih peluang kepada golongan ini mendekati remaja dan belia, sekali gus menyampaikan dakwah mereka.

“Perkembangan teknologi maklumat memberi peluang kepada pendakwah menyampaikan mesej keagamaan mereka dengan lebih cepat. Ini sesuatu yang bagus kerana remaja kini menggunakan media baru untuk bersosial seperti Facebook, Twitter, Instagram serta menonton televisyen.

“Sebagai pendakwah kami harus menyelami cara mereka berfikir untuk berdampingan seterusnya menyampaikan mesej kebaikan,” katanya yang mula menggunakan blog sebagai medium dakwah pada 2004 sehingga 2006 (boleh rujuk blog terawal beliau Aljoofre Meredah Usia) , kemudian beralih kepada Facebook lantaran pembaca muda lebih menggemari ayat ringkas serta bahasa mudah berbanding blog kerana lebih panjang dan berilmiah (boleh follow beliau di 'Profile' peribadinya dan like di 'Page'nya).

Menyingkap pembabitan dalam bidang dakwah, jelas anak keempat daripada tujuh beradik ini, sejak kecil dia sudah meminati bidang keagamaan. Walaupun ayah bukan seorang ustaz dan berkhidmat sebagai jurutera, dia sering membawa anak-anaknya ke masjid untuk bersolat dan mendengar ceramah agama. Malah ini berterusan apabila ada jemputan untuk majlis ilmu, ayahnya tidak lokek membawanya bersama.

“Saya masih ingat sejak di sekolah rendah saya kerap mengikut ayah ke masjid bagi mendengar ceramah agama. Lama-kelamaan saya mula meminati bidang dakwah dan berazam menyambung pengajian di Mesir,” ujarnya yang memiliki darah Arab daripada ayah dan ibunya yang berasal dari sana.


Erti pengorbanan

Menyingkap maksud pengorbanan sesuai dengan kedatangan Hari Raya Korban ini, Syed Abdul Kadir mempunyai tafsiran sendiri iaitu melakukan sesuatu di luar zon selesa. Malah kehebatan seseorang dapat dilihat apabila dia sanggup keluar daripada zon selesa semata-mata mendapat keredaan Allah.

“Untuk menjadi hamba-Nya yang berjaya, perlu berkorban kerana ia lambang ketakwaan dan keimanan kepada Allah. Tetapi hari ini tidak ramai sanggup mengorbankan hal dunia untuk mendapat akhirat. Konsepnya sama seperti gaji yang diperoleh pada setiap bulan.

“Walaupun hanya diterima pada hujung bulan, ramai yang sanggup bekerja bersungguh-sungguh. Keadaan ini berbeza dengan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah. Lantaran tidak nampak, tidak ramai sanggup melakukannya,” jelasnya.

Menurut Syed Abdul Kadir, ketika remaja dia sanggup mengorbankan masa remaja semata-mata mendapatkan ilmu. Jika rakan rajin me­ngunjungi pusat beli-belah, menonton wayang atau berhibur dengan teman wanita, namun zaman remajanya hanya dikelilingi buku dan belajar al-Quran.

“Bayangkan saya hanya tidur tiga jam sehari selebihnya digunakan untuk mempelajari ilmu agama. Namun saya tidak menyesal kerana apa yang saya lakukan suatu ketika dulu begitu memberi manfaat pada hari ini,” katanya yang memiliki perwatakan lembut serta mudah diajak berbual.

Mengambil contoh pengorbanan dilakukan ulama terdahulu, Imam Syafie yang menempuh pelbagai cabaran mengembangkan syiar Islam, jika dibandingkan pendakwah kini yang hidup mewah, memiliki kenderaan untuk bergerak, ia sememangnya jauh lebih baik.

“Memang saya suka membaca kisah nabi serta pengorbanan sahabat nabi dan ulama menyampaikan syariat Islam. Walaupun serba kekurangan, mereka boleh melakukannya, justeru ini seharusnya dijadikan inspirasi serta semangat menjadi lebih baik daripada mereka,” ujarnya.


Terapkan pendidikan Islam pada anak

Memiliki tiga cahaya mata hasil perkahwinan dengan Sharifah Wafa’ Alhadad, jelas Syed Abdul Kadir, dia memilih pendidikan Islam dengan menghantar anaknya ke sekolah tahfiz sains supaya mereka dapat mempelajari asas al-Quran tanpa meminggirkan akademik.

Ketiga-tiga anaknya Syed Abdul Rahman, 7, Sharifah Sumayyah, 4, dan Sharifah Zainab, 2, dilahirkan di Singapura dan memiliki asas kukuh menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Jadi apabila pulang ke Malaysia, dia bersama isteri mula mencari sekolah yang tidak jauh berbeza namun menitikberatkan asas al-Quran dan bidang sains sebagai cabang ilmu.

“Apabila tamat pengajian, terpulang kepada mereka sama ada memilih matematik, bahasa atau sains dalam pekerjaan. Perkara paling asas adalah memperkuatkan akidah mereka supaya walaupun datang pelbagai cabaran, anak-anak akan
kekal menjalani kehidupan mengikut cara Islam,” jelasnya.

Mengambil contoh bagaimana nabi mendidik anak-anak , ibu bapa memainkan peranan penting menunjukkan contoh terbaik kepada mereka. Ini kerana di rumah ibu bapa menjadi contoh paling dekat, jadi segala perbuatan dan tingkah laku akan diikuti mereka.

Selain menyampaikan ceramah agama di seluruh negara, dia turut memenuhi undangan berdakwah di luar negara seperti Jepun, India, Thailand, Singapura, United Kingdom, Ireland, Singapura dan Mesir.

Peluang menetap di Mesir selama 12 tahun memberikan pengalaman berbeza. Di setiap negara yang dilawatinya menyimpan sejarah serta budaya berbeza. Bukan saja dari segi makanan tetapi keunikan budaya dan cara hidup.

“Jepun misalnya dikenali sebagai masyarakat bersopan santun dan kuat bekerja. Negaranya pula bersih dan kaya dengan budaya tersendiri. Berbeza dengan India yang dikenali sebagai negara yang kurang bersih dan ramai penduduk memberikan tafsiran berbeza kepada saya. Paling terkesan dan meninggalkan kenangan bermakna adalah ketika berada di Mesir,” ujarnya.

Bercerita mengenai impian, dia berharap dapat melahirkan lebih ramai pendakwah kreatif, muda dan matang yang akan memberi kebaikan kepada masyarakat dan umat Islam. Namun dalam keghairahan melahirkan lebih ramai pendakwah muda, usah dipinggirkan mereka yang sudah berusia kerana tanpa yang lama tiadalah yang baru.

“Kerjasama erat antara golongan muda dan berusia mampu memberikan semangat serta ilmu yang lebih meluas kepada masyarakat,” ujarnya yang memasang impian menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah sedikit masa lagi.

*Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofre merupakan Ajk Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sesi 2013-2015 dan beliau kini banyak berceramah serta turut terlibat dalam misi kemanusiaan bersama Muslim Care. Artikel ini dipetik dari Harian Metro bertarikh 11 Oktober 2013. Boleh rujuk linknya di sini.

Tips Menulis

Oleh: Dr. Azman Ibrahim

Gambar Dr. Azman Ibrahim di sebelah kiri

Saya kongsikan beberapa tips kenapa kita perlu menulis dan bagaimana kita nak menjadi seorang penulis yang baik. Maksud saya, menulis apa sahaja topik yg berguna dan bermanfaat. Malam ni saya bagi 4 dulu...

1. Tengoklah Imam Shafie, Imam Malik, Imam Nawawi, Ibnu Taimiyyah, Dr Yusuf Qaradhawi, Hassan Al Banna, Syed Qutb, Imam al Ghazali, Ibnu kathir dan ramai lagi kalau saya nak list. Apa yang mereka tinggalkan dan kita ambil manfaat darinya? Bukankah dari buku-buku yg ditulis. 

Kita tak bercakap tentang ulama silam yg tak sezaman dgn kita, malah Yusuf al-Qaradhawi yg sezaman dgn kita pun tak pernah kita temui. Dari mana kita tumpang ilmu beliau? Jawabnya dari buku-buku tulisannya.

2. Menulis akan menuntut kita untuk terus mengkaji dan menggali ilmu agar ianya dapat dikongsi dalam penulisan. Bukankah dgn mengkaji bermakna kita sentiasa berusaha menambah ilmu.

3. Sebuah buku yg ditulis mungkin akan kekal utk 50 tahun atau 100 tahun akan datang. Dibaca oleh cucu cicit kita. Kalau saya sebagai cucu, karya datuk saya adalah suatu yg sangat bernilai bagi saya walaupun mungkin tidak bagi org lain.

4. Menulis dari hati dan pengalaman sendiri tak sama dgn orang yang berteori. Seorang penulis buku motivasi yang mengajak orang lain menjadi berani, belum tentu dia sendiri seorang yg berani. Tetapi tulisan seorang pejuang yg terbukti keberaniannya di medan juang jauh lebih bernilai dan bermakna serta menusuk hati pembaca.

Pakar motivasi yg mengajak orang lain menjadi tabah, belum tentu dia sendiri boleh bersabar dengan keperitan hidup, tetapi seorang yang telah melalui hidup yang penuh keperitan kemudian menulis apa yang pernah dilaluinya untuk dikongsi dengan orang lain, kita akan mendapati apa yg ditulisnya penuh kemurnian dan kejujuran serta berpijak di alam nyata...

*Dr. Azman Ibrahim merupakan Ajk Badan Perhubungan PAS Terengganu dan merupakan seorang doktor gigi. Beliau selalu menulis di blognya di sini.

Wednesday, 23 April 2014

Pengalaman Belajar Dan Mengajar

Assalamualaikum, apa khabar semua?

Harapnya kalian berada dalam keadaan sihat walafiat, post kali ini saya ingin menceritakan sedikit pengalaman saya bersama professor-professor yang mengajar kami sepanjang berada di Universiti al-Azhar.

Dr. Hassan adalah doktor yang mengajar kami subjek Pharmacology, cara beliau mengajar sangat 'simple'. Cara beliau mengajar, beliau akan tekankan topik mana yang penting dan meminta kami untuk mengulang pembacaan dan menghafal nama-nama 'drug' tersebut.

Selain Dr. Hassan, terdapat Dr. Abd el-Naby, doktor ini mengajar subjek Pathology, di akhir kelas beliau selalu bertanya sama ada kami ada persoalan atau tidak, ini amat penting. Pengalaman saya menjadi guru tutor banyak mengajar saya erti menjadi seorang cikgu. Persoalan daripada murid-murid sangat penting untuk menunjukkan sama ada mereka berusaha untuk memahami sesuatu subjek itu atau pun tahap kefahaman murid terhadap pembelajaran yang kita sampaikan. Tambahan lagi, ia menambahkan keyakinan kita untuk terus mengajar dan saya mengaku adakalanya saya tidak tahu tentang sesuatu maka saya sebut kepada murid saya, saya tidak tahu dan akan berusaha mencari jawapannya. Perkara adab antara murid dan guru dan juga guru dan murid sememangnya tiada terpisah kerana kita masing-masing membawa amanah ilmu.

Kembali semula dengan Dr. Abd el-Naby, saya sangat suka dengan cara doktor ini walaupun kadangkala, beliau menghadapi kesukaran bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi kami dapat memahaminya dengan baik. Dan salah satu kebaikan doktor kami ini, beliau tidak akan meneruskan kuliah dan memberhentikan sahaja apabila melihat muka kami yang dah agak 'letih', kuliah dari pagi, beliau amat memahami, mungkin juga kerana beliau pernah berada di tempat kami memahami kehidupan sebagai seorang pelajar medik.

Doktor yang mengajar kami subjek pathology lagi antaranya Dr. Samy, beliau sangat menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran beliau di dalam kuliah. Habis satu subtopik yang diajar beliau akan bertanya,"Do you understand what i teach about?" Kadang-kadang, beliau bertanya di tengah-tengah pembelajaran, suka dengan cara doktor ni, kalau kita tidak faham tentang sesuatu yang diajarnya, beliau akan ulang sampai kita faham apa yang kita tanya tu.

Seperti kebiasaannya, kalau belajar di al-Azhar, doktor-doktor kami akan menyelitkan perihal agama, kadang-kadang mengaitkan perkara yang diajar dengan ayat al-Quran, memberi nilai tambah kepada kami sebagai bakal graduan Universiti al-Azhar. Insya-Allah.

Gambar kenangan bersama Dr. Muaz yang mengajar kami subjek Microbiology (tengok muka sorang2, ceria jek semua, ahakz!)

Setakat ini sahaja, semoga bertemu lagi di post yang lain (insya-Allah), syukran kerana sudi membaca! =)

Sunday, 20 April 2014

Hikmah Di Sebalik Sebuah Kematian

Bismillah...

Post kali ini berkaitan seorang sahabat saya, (Allahyarham) akhi Aman yg baru sahaja kembali ke rahmatullah hari ini (Ahad, 20 April 2014).

Terkejut, sedih, semuanya ada bercampur-baur perasaan ini.

Hari ini ketika membaca ayat Al-Quran, terhenti seketika pada ayat ini :

قُل لاَّ أَمْلِكُ لِنَفْسِي ضَرّاً وَلاَ نَفْعاً إِلاَّ مَا شَاء اللّهُ لِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ إِذَا جَاء أَجَلُهُمْ فَلاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya". (Surah Yunus : ayat 49)

Benarlah Firman Allah SWT Yang Maha Agung Lagi Maha Mengetahui.

Saya dan ramai lagi sahabatnya antara yang menjadi saksi bahawa Allahyarham Aman adalah seorang lelaki yang soleh. Hidupnya selalu membantu manusia sekilingnya. Selalu hadir program tarbiyah dan sangat berkomited dalam menjalankan kerja persatuan.

Subhanallah!

Alangkah indahnya sebuah kematian diiringi doa dan perkataan-perkataan yang baik dari manusia tentangnya.

Perkara inilah yang terkadang kita lupakan, kematian, usah fikir bila kita mati tapi berfikirlah tentang bagaimana persiapan kita untuk mati. Mati bukanlah pengakhiran sebuah kehidupan, tetapi mati adalah transisi kita untuk perjalanan kehidupan yang seterusnya iaitu alam akhirat yang kekal abadi.

Tidak semua yang kita sangka baik untuk kita adalah baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya, tetapi apa yang telah Allah tentukan pastinya yang terbaik untuk kita dan mempunyai hikmah yang tersendiri.


وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ 
أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاء وَالضَّرَّاء وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ 

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (Surah Ali 'Imran : ayat 133-144)


Kenangan bersama Allahyarham ketika menghadiri program tarbiyah.
Dari kiri Hasbullah, (Allahyarham) akhi Aman, Izofi, Fariq, Fawwaz.

Berusahalah untuk mendapat keampunan Allah dan syurga-Nya tempat asal kita dan tempat kita dapat bertemu dengan-Nya. Kita tidak tahu bila kita akan mati, tetapi mati itu pasti, berbuatlah perkara kebaikan dan jauhi kemungkaran, selagi hayat dikandung badan.

Innalillahi wainna ilaihi raji'un. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Al-Fatihah buat Allahyarham akhi Aman.

Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak




Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan meneliti maklumat serta bukti-bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudharatan besar yang dihadapi akibat daripada shisha terhadap kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi pada masa akan datang, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa shisha adalah HARAM. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan shisha.

Muzakarah menegaskan bahawa pengharaman Shisha ini adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan Hadith serta Kaedah Fiqhiyyah bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara sepertimana tuntutan syarak, kerana Shisha jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji, berdasarkan nas-nas berikut:
Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 :

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157;

“ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Tidak boleh mudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain)”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

Kaedah Usul Fiqh:

سد الذريعة - iaitu “Menutup pintu kerosakkan”
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح – iaitu “menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”.

Rujuk Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan hukum sisha di sini.


Thursday, 17 April 2014

Salam Ukhuwah Dari Hamba

Assalamualaikum semua, =)

Terima kasih kerana sudi menjelajah ke blog ini, by the way, ini adalah post pertama saya.

Ingin saya jelaskan kepada semua, macammana saya tiba-tiba nak buat blog ni? Sebenarnya bukan tiba-tiba, tidaklah sesuatu yg kita lakukan tiada tujuan kerana setiap amal mestilah berdasarkan niat.

So, sembang ringkas, saya ada berbual dengan seorang sahabat saya, namanya Dhiyauddin, dia bertanya kepada saya, kenapa tetiba nak buat blog? Sebab sekarang ni kan orang nak serba pantas, macam facebook ke, twitter ke?

Jawapan saya mudah, saya nak buat blog ni sebagai medium berkongsi pengalaman, nak berlatih menulis, dan yang paling penting amal jariah. =)

Sebab apa saya katakan buat blog ni amal jariah? Sebab kita tidak tahu mana amal kita yang diterima Allah dan kita dituntut untuk melakukan amal kebajikan sebanyak-banyaknya dan berlumba-lumba dalam membuat kebajikan. Bayangkan kalau seseorang mencari perkataan 'tarbiyah', lalu keluarlah carian perkataan tarbiyah itu dan salal satunya adalah dari blog kita, kemudian cari lagi ayat Al-Quran, tak ingat ayatnya, dengan mudah dapat mengetahui ayat Al-Quran tadi beserta terjemahan tadi yang ditulis di dalam 'post' blog kita.

Bersabda Rasulullah SAW (yang maksudnya),"Barangsiapa yang menunjuki manusia ke jalan kebaikan, maka, dia akan mendapatkan ganjaran sebagaimana pelakunya."


Sabda Rasulullah SAW (yang maksudnya),"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaaat bagi manusia lainnya."

Lumayan tak? Mestilah lumayan!
Hasilnya bukan di dunia tetapi di akhirat sana, kumpullah banyak amal-amal kebajikan dan berlumba-lumbalah dalam perkara kebajikan.

Ayuh syabab, berangkatlah sama ada susah ataupun senang..!!