Wednesday, 17 September 2014

إحتفال السيد محمد عبد الوهاب الحصافي

Sambutan maulid dan zikir oleh Tariqat al-Husofiyah asy-Syazuliyah bertempat di Syari' al-Mahboub, Syubra pada hari Khamis 30 Januari 2014.


Pada petang itu, Syeikh menjemput saya dan rakan-rakan yang lainnya untuk turut serta dalam sambutan ini. Setibanya saya di sana, saya sempat berkenalan dengan beberapa guru al-Quran. Terdapat juga warga Malaysia yang turut hadir pada malam itu, Ustaz Ismail dan Ustaz Afifi, kedua-duanya berasal dari Selangor.

Majlis bermula dengan tilawah al-Quran bertarannum, bacaan yang sangat merdu oleh qari yang juga dari Mesir. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan Maulid, terdapat beberapa qasidah yang dilantunkan, terpegun dan asyik saya mendengar suara yang sangat merdu dan lantang daripada Syeikh Abd Rahman hafizahullah. Seterusnya, zikir Tariqat al-Husofiyah, antara yang dibaca dalam zikir ialah حزب البحر dan akhir sekali makan bersama ikhwan-ikhwan Tariqat al-Husofiyah.



Ketika kami mahu pulang, terdapat seorang ikhwan yang bertanya kepada kami,"Oleh kerana kamu semua pelajar al-Azhar, saya ingin bertanya, bagaimana Allah berselawat, malaikat berselawat dan kita berselawat ke atas Baginda Nabi s.a.w?"


Kami terdiam dan tidak tahu nak jawab apa, lalu ikhwan itu memberikan jawapannya,"Allah berselawat dengan memberi rahmat, malaikat berselawat dengan mendoakan, dan kita berselawat dengan salam dan untuk mendapat syafaat dari Rasulullah s.a.w."


الحمدلله على النعمة اﻹيمان وﻹسﻻم :)

# Link asal penulisan saya di Facebook, boleh rujuk disini.

Biodata Ringkas Syeikh Ahmad Muhammad an-Nahriti al-Hasani al-Azhariy hafizahullah

Nama beliau as-Syeikh as-Syariff Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Musthofa an-Nahrity as-Syadzuli al-Husofiy al-Azhari.

Beliau lahir pada 5 Januari 1956 di Kampung Kum an-Nuur, Mit Gham muhafazah Daqahliyah.

Beliau merupakan keturunan Ahli Bait yang bernasabkan kepada Sayyiduna Husein r.a. dan merupakan salah seorang ahli dalam Lajnah Persatuan Silsilah Rasulullah s.a.w. yang berdaftar.

Syeikh merupakan seorang yang peramah dan mudah bergurau senda tetapi sangat menitik-beratkan adab dalam menuntut ilmu. Sifat periangnya menyebabkan dia mudah didekati dan disenangi oleh para pelajarnya.

Beliau merupakan lepasan Ma'ahad Qiraat Zaqaziq di bawah penyeliaan al-Azhar as-Syariff pada tahun 1995-1996.

Pernah menjadi tenaga pengajar Muhaffiz Quran di Kuttab al-Madinah al-Munawwarah, Kum an-Nuur dan berkeahlian dalam bidang Qari' al-Quran dan Tajwid.

Pernah juga dijemput menjadi Imam Masjid pada bulan Ramadhan sebanyak 3 kali di negeri Kedah. Dan lebih 1000 orang telah mengambil ijazah bacaan surah al-Fatihah daripada beliau.

Dan sekarang merupakan ahli rasmi dalam Nuqabah Muhaffiz dan Qurraa' al-Quran al-Karim di Republik Arab Mesir dan juga tenaga pengajar pengajian talaqqi al-Quran al-Karim di Hayyu Sabi', Kaherah pada hari Khamis hingga Sabtu dengan pelajar-pelajar Malaysia dan Thailand.

Beliau juga merupakan salah seorang ahli tariqah as-Syadzuliyah al-Husofiyah. Seorang yang sangat tawaddhu', beradab sopan, peramah dan periang.

Gambar kenangan bersama dengan Syeikh di majlis zikir tariqat. (Ihtifal Syeikh Muhammad Abdul Wahab Husofi). Boleh lihatnya disini.

Sekian. Wallahua'lam.

# Sumber: Kitab pengajian yang telah disediakan oleh Syeikh dan anaknya sendiri. Saya menulis biodata Syeikh setelah mendapat keizinannya.