Sambutan maulid dan zikir oleh Tariqat al-Husofiyah asy-Syazuliyah
bertempat di Syari' al-Mahboub, Syubra pada hari Khamis 30 Januari 2014.
Pada petang itu, Syeikh menjemput saya dan rakan-rakan yang
lainnya untuk turut serta dalam sambutan ini. Setibanya saya di sana, saya
sempat berkenalan dengan beberapa guru al-Quran. Terdapat juga warga Malaysia yang
turut hadir pada malam itu, Ustaz Ismail dan Ustaz Afifi, kedua-duanya berasal dari
Selangor.
Majlis bermula dengan tilawah al-Quran bertarannum, bacaan yang
sangat merdu oleh qari yang juga dari Mesir. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan
Maulid, terdapat beberapa qasidah yang dilantunkan, terpegun dan asyik saya
mendengar suara yang sangat merdu dan lantang daripada Syeikh Abd Rahman hafizahullah.
Seterusnya, zikir Tariqat al-Husofiyah, antara yang dibaca dalam zikir ialah حزب البحر dan akhir sekali
makan bersama ikhwan-ikhwan Tariqat al-Husofiyah.
Ketika kami mahu pulang, terdapat seorang ikhwan yang bertanya
kepada kami,"Oleh kerana kamu semua pelajar al-Azhar, saya ingin bertanya,
bagaimana Allah berselawat, malaikat berselawat dan kita berselawat ke atas
Baginda Nabi s.a.w?"
Kami terdiam dan tidak tahu nak jawab apa, lalu ikhwan itu
memberikan jawapannya,"Allah berselawat dengan memberi rahmat, malaikat
berselawat dengan mendoakan, dan kita berselawat dengan salam dan untuk mendapat
syafaat dari Rasulullah s.a.w."