Wednesday, 17 September 2014

إحتفال السيد محمد عبد الوهاب الحصافي

Sambutan maulid dan zikir oleh Tariqat al-Husofiyah asy-Syazuliyah bertempat di Syari' al-Mahboub, Syubra pada hari Khamis 30 Januari 2014.


Pada petang itu, Syeikh menjemput saya dan rakan-rakan yang lainnya untuk turut serta dalam sambutan ini. Setibanya saya di sana, saya sempat berkenalan dengan beberapa guru al-Quran. Terdapat juga warga Malaysia yang turut hadir pada malam itu, Ustaz Ismail dan Ustaz Afifi, kedua-duanya berasal dari Selangor.

Majlis bermula dengan tilawah al-Quran bertarannum, bacaan yang sangat merdu oleh qari yang juga dari Mesir. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan Maulid, terdapat beberapa qasidah yang dilantunkan, terpegun dan asyik saya mendengar suara yang sangat merdu dan lantang daripada Syeikh Abd Rahman hafizahullah. Seterusnya, zikir Tariqat al-Husofiyah, antara yang dibaca dalam zikir ialah حزب البحر dan akhir sekali makan bersama ikhwan-ikhwan Tariqat al-Husofiyah.



Ketika kami mahu pulang, terdapat seorang ikhwan yang bertanya kepada kami,"Oleh kerana kamu semua pelajar al-Azhar, saya ingin bertanya, bagaimana Allah berselawat, malaikat berselawat dan kita berselawat ke atas Baginda Nabi s.a.w?"


Kami terdiam dan tidak tahu nak jawab apa, lalu ikhwan itu memberikan jawapannya,"Allah berselawat dengan memberi rahmat, malaikat berselawat dengan mendoakan, dan kita berselawat dengan salam dan untuk mendapat syafaat dari Rasulullah s.a.w."


الحمدلله على النعمة اﻹيمان وﻹسﻻم :)

# Link asal penulisan saya di Facebook, boleh rujuk disini.

Biodata Ringkas Syeikh Ahmad Muhammad an-Nahriti al-Hasani al-Azhariy hafizahullah

Nama beliau as-Syeikh as-Syariff Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Musthofa an-Nahrity as-Syadzuli al-Husofiy al-Azhari.

Beliau lahir pada 5 Januari 1956 di Kampung Kum an-Nuur, Mit Gham muhafazah Daqahliyah.

Beliau merupakan keturunan Ahli Bait yang bernasabkan kepada Sayyiduna Husein r.a. dan merupakan salah seorang ahli dalam Lajnah Persatuan Silsilah Rasulullah s.a.w. yang berdaftar.

Syeikh merupakan seorang yang peramah dan mudah bergurau senda tetapi sangat menitik-beratkan adab dalam menuntut ilmu. Sifat periangnya menyebabkan dia mudah didekati dan disenangi oleh para pelajarnya.

Beliau merupakan lepasan Ma'ahad Qiraat Zaqaziq di bawah penyeliaan al-Azhar as-Syariff pada tahun 1995-1996.

Pernah menjadi tenaga pengajar Muhaffiz Quran di Kuttab al-Madinah al-Munawwarah, Kum an-Nuur dan berkeahlian dalam bidang Qari' al-Quran dan Tajwid.

Pernah juga dijemput menjadi Imam Masjid pada bulan Ramadhan sebanyak 3 kali di negeri Kedah. Dan lebih 1000 orang telah mengambil ijazah bacaan surah al-Fatihah daripada beliau.

Dan sekarang merupakan ahli rasmi dalam Nuqabah Muhaffiz dan Qurraa' al-Quran al-Karim di Republik Arab Mesir dan juga tenaga pengajar pengajian talaqqi al-Quran al-Karim di Hayyu Sabi', Kaherah pada hari Khamis hingga Sabtu dengan pelajar-pelajar Malaysia dan Thailand.

Beliau juga merupakan salah seorang ahli tariqah as-Syadzuliyah al-Husofiyah. Seorang yang sangat tawaddhu', beradab sopan, peramah dan periang.

Gambar kenangan bersama dengan Syeikh di majlis zikir tariqat. (Ihtifal Syeikh Muhammad Abdul Wahab Husofi). Boleh lihatnya disini.

Sekian. Wallahua'lam.

# Sumber: Kitab pengajian yang telah disediakan oleh Syeikh dan anaknya sendiri. Saya menulis biodata Syeikh setelah mendapat keizinannya.

Friday, 22 August 2014

Kewajipan-kewajipan Seorang Saudara Muslim


Bismillah..

Entry kali ini saya ingin menceritakan tentang tarbiyah dan akhlak yang penting yang seharusnya dimiliki oleh orang-orang Islam dan khususnya kepada mereka yang menggelarkan diri mereka pejuang agama Allah. Nasihat yang diberikan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna sememangnya sangat berguna bagi kita walaupun beliau telah lama meninggalkan kita tetapi ilmu dan semangat Islam yang dibawanya masih terasa dan digunapakai sehingga ke hari ini. Harapan saya dan kita semua supaya dapat mencontohi akhlak kader-kader Ikhwanul Muslimin kerana mereka itu akhlaknya sufi, jasadnya jundi dan jiwanya haraki.

Di dalam risalah At-Taalim Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah menetapkan lebih tiga puluh kewajipan bagi seseorang saudara muslim yang menggabungkan dirinya dengan Harakah Islamiah. Dengan kewajipan-kewajipan ini Imam Al-Banna telah merumuskan kewajipan setiap seorang muslim terhadap dirinya, rumah tangganya dan masyarakatnya.


Al-Imam terkenal dengan nasihatnya,"Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah pelaksanaannya."

Beliau mengatakan:"Wahai saudara yang jujur! Keyakinan saudara terhadap persetiaan (baiah) ini, menuntut saudara menunaikan kewajipan-kewajipan berikut ini sehingga menjadi batu-batu yang kukuh bagi binaan kita".

1. Saudara hendaklah mewiridkan (membaca) Al-Quran kira-kira satu juzuk setiap hari dan bersungguh-sungguh melakukannya supaya dapat khatam dalam tempoh tidak lebih dari satu bulan tetapi janganlah dihabiskan dalam tempoh kurang dari tiga hari.

2. Saudara hendaklah membaca Al-Quran dengan baik (sebutan dan tajwid), sanggup pula mendengar dan merenungi maksud pengertiannya. Saudara juga hendaklah mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w dan sejarah angkatan salafussoleh yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada pada saudara. Sekurang-kurangnya saudara membaca buku "Hamalatul Islam" sebagai kajian permulaan. Hendaklah saudara memperbanyakkan membaca hadis-hadis Rasulullah s.a.w dan menghafal sekurang-kurangnya empat puluh hadis iaitu hadis 40 susunan Imam Nawawi. Saudara juga hendaklah mempelajari sebuah risalah atau kitab mengenai usul-usul akidah dan sebuah kitab mengenai hukum-hakam fekah.

3. Saudara hendaklah segera berjumpa doktor supaya diperiksa kesihatan am saudara. Jika didapati ada apa-apa penyakit saudara hendaklah segera mencari ubatnya. Saudara hendaklah mengambil berat terhadap sebab-sebab kekuatan badan dan pemeliharaannya. Di samping itu saudara hendaklah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh melemahkan kesihatan.

4. Saudara hendaklah menjauhkan diri dari meminum kopi, teh atau minuman menyegarkan seumpamanya secara berlebihan. Janganlah saudara meminumnya kecuali di ketika yang sangat perlu dan janganlah sekali-kali saudara menghisap rokok.

5. Saudara hendaklah mengambil berat tentang kebersihan dalam semua perkara, dalam rumah tangga, pakaian, makan-minum, tubuh badan dan tempat kerja (pejabat) kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.

6. Saudara hendaklah bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.

7. Saudara hendaklah menunaikan dengan tepat segala kata-kata dan janji dan jangan sekali-kali saudara memungkirinya walaupun dalam keadaan paling sulit sekalipun.

8. Saudara hendaklah bersifat berani dan tahan memikul bebanan (tanggungjawab), semulia-mulia keberanian ialah berani berterus-terang dalam perkara yang benar dan sanggup menyimpan rahsia, berani mengaku kesilapan diri sendiri, sanggup menyedarkan diri sendiri dan mampu mengawal diri ketika marah.

9. Saudara hendaklah bersikap serius dengan cara bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kesungguhan sikap ini tidaklah sampai kepada peringkat sehingga menahan saudara dari bergurau-senda dengan cara yang benar dan ketawa dengan senyum.

10. Saudara hendaklah bersifat pemalu, halus perasaan dan mudah terasa (peka) kepada sesuatu yang baik ataupun yang buruk, dengan cara menunjukkan kegembiraan kepada sesuatu kebaikan dan menunjukkan kedukacitaan terhadap sesuatu yang buruk. Saudara hendaklah bersikap merendah diri tetapi bukan kerana merasa hina atau bertongkat dagu
kepada orang lain. (Jika saudara menuntut sesuatu) saudara hendaklah memintanya kurang dari martabat kerana dengan cara demikian saudara dapat mencapai martabat sebenarnya dengan kebenaran.

11. Saudara hendaklah berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum dalam segala perkara dan jangan saudara melupakan kebaikan orang lain kerana marah dan janganlah kerana sayang. Budi orang lain hendaklah dikenangkan walaupun ketika bermusuhan. Saudara hendaklah sanggup bercakap benar walaupun ke atas diri sendiri atau ke atas orang yang paling hampir dengan kamu walaupun ucapan itu pahit.

12. Saudara hendaklah benar-benar cergas dan terlatih dalam melakukan kerja-kerja kebajikan am sehingga saudara merasa bahagia dan menyenangkan perasaan apabila saudara dapat memberi khidmat kepada orang lain. Untuk maksud ini saudara hendaklah menziarahi orang-orang yang sakit, membantu orang yang berhajat (memerlukan), meringankan orang yang menanggung bebanan dan melapangkan orang yang ditimpa bencana dan melapangkan orang yang ditimpa bencana walaupun sekadar mengeluarkan kata-kata yang baik dan manis. Kesimpulannya hendaklah saudara segera melakukan kebajikan.

13. Saudara hendaklah bersifat belas-kasihan, pemurah dan bertolak-ansur. Dalam perkara ini saudara hendaklah memberi kemaafan dan mengampunkan kesilapan-kesilapan orang lain dan sentiasa bersabar dan bertenang. Bertimbang-rasa bukan terbatas kepada manusia sahaja malah terhadap haiwan sekalipun hendaklah saudara bertimbang-rasa. Saudara hendaklah memelihara pergaulan dan akhlak yang baik dengan orang ramai, memelihara adab-sopan secara Islam, menaruh belas kasihan terhadap yang lebih muda dan menghormati orang-orang yang lebih tua, melapangkan tempat duduk di dalam majlis-majlis perhimpunan, janganlah saudara mengintai-intai, mengumpat-umpat dan menceroboh. Saudara hendaklah meminta izin terlebih dahulu sebelum memasuki ke satu-satu tempat dan ketika hendak mengundurkan diri daripadanya.

14. Saudara hendaklah boleh membaca dan menulis dengan baik dan sentiasa banyak mengulang-kaji risalah-risalah Ikhwanul Muslimin seperti akhbar-akhbar, majalah dan seumpamanya yang diterbitkan oleh mereka. Seboleh-bolehnya saudara hendaklah memiliki kutub khanah (perpustakaan) sendiri walaupun kecil. Dengan ini saudara pula hendaklah mendalamkan ilmu pengetahuan dan kepandaian saudara. Jika saudara termasuk dalam golongan yang mempunyai pengkhususan berkenaan urusan-urusan dalam bidang tertentu, saudara hendaklah mempunyai pengalaman berkenaan urusan-urusan keIslaman sekadar
yang membolehkan saudara melihat dan menghukumnya supaya selari dengan tuntutan-tuntutan fikrah perjuangan kita.

15. Saudara hendaklah membuat sesuatu pekerjaan ekonomi sekalipun saudara sudah kaya-raya dan hendaklah saudara memilih dan membuat apa jua pekerjaan yang bebas sekalipun kecil. Ceburkanlah diri saudara ke dalam bidang berkenaan walau apa juga kedudukan ilmu pengetahuan yang ada pada saudara.

16. Janganlah saudara mencari-cari kerja di dalam jabatan-jabatan kerajaan malah saudara hendaklah memandang pekerjaan seperti itu sempit pintu rezekinya. Tetapi jangan pula saudara terus menolak apabila datang peluang pekerjaan. Janganlah pula saudara lepaskan pekerjaan tersebut kecuali kalau ia benar-benar bertentangan dengan kewajipan-kewajipan
dakwah kita.

17. Saudara hendaklah berjaga-jaga supaya dapat menunaikan tugas dan tanggungjawab saudara dengan penuh amanah tentang kelicinan dan kehalusan pekerjaannya, jangan sekali-sekali anda menipu, malah saudara hendaklah menunaikan tugas tersebut tepat dengan janjinya.

18. Saudara hendaklah menuntut hak-hak saudara dengan cara yang baik dan menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurna tanpa perlu dituntut dan tidak menangguh-nangguhkan.

19. Saudara hendaklah menjauhi permainan judi walau apapun jenisnya dan walau apapun tujuannya. Saudara juga hendaklah menjauhi sebarang cara penghasilan yang haram sekalipun memperolehi keuntungan dengan serta merta.

20. Saudara hendaklah menjauhi amalan riba dalam seluruh muamalat malah hendaklah saudara membersihkan diri sama sekali dari sebarang amalan riba.

21. Saudara hendaklah menggunakan harta kekayaan Umat Islam kepada jalan-jalan yang menggalakkan perusahaan dan institusi-institusi ekonomi Islam dan saudara hendaklah berjaga-jaga supaya jangan tercicir walaupun satu sen ke tangan pihak yang bukan Islam walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Janganlah saudara memakai dan memakan kecuali pakaian dan barang makanan yang dikeluarkan oleh negara Islam.

22. Saudara hendaklah menyumbangkan untuk dakwah kita dari harta saudara dan jangan lupa mengeluarkan zakat yang wajib malah hendaklah saudara menguntukkan sedikit daripada harta itu untuk menolong pengemis-pengemis dan orang-orang yang terputus rezeki sekalipun pendapatan saudara sangatlah kecil.

23. Saudara hendaklah menyimpan sebahagian dari wang pendapatan saudara untuk waktu-waktu kecemasan walaupun sedikit dan janganlah sekali-kali saudara terjerumus di dalam amalan-amalan membelanjakan wang dalam perkara-perkara yang tidak mustahak.

24. Saudara hendaklah berusaha sedaya upaya menghidupkan adat-adat yang bercorak Islam sebaliknya mematikan adat-adat asing dalam semua lapangan hidup. Di antara adat tersebut ialah cara-cara memberi hormat, bahasa, sejarah. Masa bercuti, makanan, minuman, cara-cara datang dan pergi, cara berduka, cara bersuka dan sebagainya. Dalam semua kebiasaan-kebiasaan itu saudara hendaklah beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w.

25. Saudara hendaklah pulaukan mahkamah tempatan dan sebarang proses kehakiman yang bukan Islam, kelab-kelab, akhbar-akhbar, perkumpulan-perkumpulan, sekolah-sekolah dan institusi-institusi yang menentang fikrah Islamiah. Pemulauan tersebut mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh.

26. Saudara hendaklah sentiasa merasai diri saudara berada di bawah pengawasan Allah s.w.t, mengingati hari akhirat dan bersedia untuk ke sana dan hendaklah saudara mempertingkatkan perjalanan hidup sehari hari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi dalam mendapatkan keredaan Allah dengan hemat dan keazaman yang kuat. Dekatkanlah diri saudara kepada Allah s.w.t dengan cara mengerjakan ibadat-ibadat sunat seperti sembahyang tahajud (di waktu malam), berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari setiap bulan, memperbanyakkan zikir di dalam hati dan lidah dan berdoa dengan doa-doa yang ma'thur dalam setiap keadaan.

27. Saudara hendaklah melakukan dengan baik apabila bersuci (iaitu berwuduk dengan cara menyempurnakan segala syarat dan rukunnya) dan hendaklah saudara sentiasa berada di dalam keadaan berwuduk.

28. Saudara hendaklah mengerjakan sembahyang dengan cara yang betul (iaitu menyempurnakan syarat dan rukun-rukunnya) dan menunaikannya pada waktu-waktunya dengan mengutamakan sembahyang berjemaah dan sembahyang di masjid seboleh yang
mungkin.

29. Saudara hendaklah berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan Haji ke Baitullah apabila saudara berkemampuan pergi ke sana dan jika sekiranya saudara belum mampu hendaklah membuat persediaan untuknya mulai sekarang.

30. Saudara hendaklah sentiasa berada di dalam keadaan niat berjihad dan bercita-cita untuk mati syahid serta melakukan persediaan sedaya-upaya untuk berjihad dan mati bersama-sama dengan para syuhada'.

31. Saudara hendaklah sentiasa memperbaharui taubat dan memohon keampunan, menjauhkan diri dari dosa-dosa besar. Saudara hendaklah memperuntukkan masa selama satu jam sebelum tidur untuk menghisab diri saudara tentang kebaikan-kenaikan dan kejahatan-kejahatan yang telah saudara lakukan. Saudara hendaklah menjaga masa kerana masa itu adalah kehidupan. Oleh itu janganlah saudara membazirkan masa itu walaupun sedikit kepada perkara-perkara yang tidak memberi faedah dan hendaklah saudara menjauhkan diri dari perkara-perkara yang syubahat dan samar-samar hukumnya supaya saudara tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram.

32. Saudara hendaklah bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu saudara sehingga mudah saudara mengendalikannya. Saudara mestilah menjaga penglihatan saudara (dari benda-benda atau tempat-tempat yang haram) dan kuasailah desakan-desakan naluri saudara dengan cara
mengarahkannya kepada perkara-perkara yang halal lagi baik dan elakkanlah diri dari sesuatu yang haram walau apapun bentuknya.

33. Saudara hendaklah menjauhkan diri sama sekali dari arak, minuman-minuman yang memabukkan dan minuman-minuman yang melemahkan kesihatan badan atau minuman yang seumpamanya.

# copy & paste daripada terjemahan buku "Apa Ertinya Saya Memeluk Islam" oleh Ustaz Fathi Yakan. Buku ini juga merupakan buku yang pertama yang diperkenalkan sebagai silibus usrah ketika saya menuntut di SMKA TAHAP, Jerantut, Pahang.

Wednesday, 25 June 2014

"Life is a journey, appreciate every moments in your life."


Hidup ini adalah suatu perjalanan menuju hakikat kpd Allah SWT.

Sebagaimana umat terdahulu telah melaluinya, begitulah juga kita yg sedang melaluinya. Mereka telah melaksanakan peranan mereka dalam membentuk generasi dan umat yg dibanggakan Allah dan Rasul-Nya, kita pula bagaimana?

Alhamdulillah, perjalanan yg sungguh bermakna hr ini, walaupun sejuk, kami meredahnya. Banyak kisah-kisah yg dpt dipelajari dan dpt diteladani sepanjang jaulah di sekitar Kaherah. Penuh ilmiah dan ibrah bg golongan yg mahu berfikir. 

#jaulahcairo #kubusalahudin #maqamimamassyafie #masjid4mazhab


al-marhum Ustaz Fahmi bin Abd Rashid ketika menjadi tourist guide kami.
(Ustaz Fahmi di sebelah paling kiri, diikuti saya, ayah, ibu serta dua orang lagi rakan Ehsan dan Ikhwan yang sedang menangkap gambar ini.)

Ini adalah tulisan saya 6 bulan yang lalu yang saya paparkan di laman Facebook saya, boleh rujuk linknya di sini. Tiada siapa yang dapat mengetahui siapa yang akan pergi dulu, ternyata Allah lebih sayang kepada Ustaz Fahmi, dijemput oleh-Nya ketika usia beliau masih muda dan masih dalam jihad menuntut ilmu. Tidak kurang banyak juga gerak kerja Islam yang telah beliau sumbangkan khususnya untuk persatuan Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang (BKMIP) dan juga Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) serta untuk masyarakat di Mesir dan Malaysia amnya.

Semoga rohnya tenang dan mendapat nikmat serta kerahmatan disisi Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh. Al-Fatihah buat allahyarham Ustaz Fahmi.

Friday, 6 June 2014

Tips Pemakanan Untuk Wanita Hamil


Walaupun di musim peperiksaan, saya ingin meluangkan masa sedikit berkenaan dengan amalan dan nasihat buat wanita hamil, memandangkan ramai dalam kalangan sahabat-sahabat saya yang bakal menjadi ayah dan juga ibu, tahniah saya ucapkan. Tetapi sebelum itu ingin saya kongsikan beberapa tips yang saya perolehi hasil pembacaan dan daripada apa yang saya pelajari dari kuliah perubatan yang saya sedang ambil ini.

Perubahan physiology selama kehamilan meliputi pertambahan volume plasma darah, meningkatnya persediaan cadangan makanan, meningkatnya aliran darah uterine, serta bertambahnya berat janin, cairan amniotic dan placenta. Purata pertambahan berat badan ibu selama masa hamil adalah 12.5 kg, kerananya ibu hamil memerlukan tambahan tenaga sebanyak 258 gram dari keadaan normal. Begitu juga dengan keperluan protein yang bertambah 8.5 gram setiap hari pada saat puncak keperluan. Hal ini untuk menutupi perkiraan 925 gram protein yang didepositkan kepada janin, placenta dan jaringan maternal. Ibu hamil dianjurkan untuk mengambil protein sebanyak 85-100 gram setiap hari pada 5 bulan pertama kehamilannya.

"A mother is she who can take the place of all others,
but whose place no one else can take.." - quoted.

Oleh itu, para ibu dinasihatkan mengambil makanan dan zat yang secukupnya untuk perkembangan yang baik kepada si bayi. Antara makanan  yang disarankan untuk diambil oleh ibu mengandung ialah:

1) Susu
Susu mengandungi protein dan juga vitamin A yang penting untuk perkembangan janin dalam kandungannya. Caranya adalah dengan meminum susu sebanyak 2-4 gelas sehari. 2 gelas susu yang diminum dapat menyumbang 15 gram protein, 0.75 gram kalsium dan 160 kkal (susu skim), 320 kkal (susu penuh krim).
Pesan Rasulullah SAW (yang maksudnya),”Berilah wanita-wanita hamil meminum susu, kerana ia akan membuat anaknya berotak cerdas.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Asakir)

2) Buah-buahan dan sayur-sayuran
Antara buah-buahan yang disarankan ialah buah tembikai, kelapa muda, delima, limau, anggur, kismis, zaitun, tin, pir, labu, adas dan juga beras (nasi). Selain itu, terdapat juga satu buah yang sangat baik untuk wanita hamil iaitu safarjal (jambu biji). Ia berguna untuk mencantikkan wajah dan melembutkan hati.
Dalam satu hadis yang dirawayatkan oleh Thalhah RA, beliau menuturkan,”Aku menemui Rasulullah SAW. Di tangan baginda ada buah safarjal (jambu biji). Kemudian Baginda SAW bersabda,”Makanlah buah ini, kerana ia boleh melembutkan hati.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Asakir)

3) Ikan laut
Pakar nutrisi pemakanan mengatakan bahawa ikan laut mengandungi asid lemak omega 3 yang berperanan penting kepada pertumbuhan dan perkembangan sel otak serta proses penglihatan (pembentukan retina mata) pada janin. Selain itu, ikan juga mengandungi asid amino (protein) penting yang sangat baik bagi pertumbuhan janin, di samping kandungan vitamin dan mineralnya yang cukup tinggi.

4) Vitamin A
Ibu hamil memerlukan vitamin A sekitar 500 SI. Jika ibu hamil mengalami kekurangan vitamin A selama kehamilan, ia boleh menyebabkan kelahiran bayi pramatang serta melambatkan pertumbuhan janin. Berat bayi juga rendah ketika dilahirkan. Sebaliknya pengambilan vitamin A secara berlebihan juga memberikan kesan negative. Untuk mendapatkan vitamin A ini, ibu hamil boleh mendapatkannya daripada hati, susu, ikan laut, sayur-sayuran dan buah-buahan berwarna hijau dan kuning serta makanan berprotein lainnya.

5) Kurma
Pesan Rasulullah SAW dalam suatu hadis (yang maksudnya),”Berilah wanita hamil memakan kurma sebelum dia melahirkan, sebab ia akan membuat anaknya menjadi seorang yang tabah dan bertakwa (bersih hatinya).” (Hadis riwayat Imam Ibnu Asakir)
Berdasarkan kajian ilmiah pakar kesihatan makanan moden, didapati bahawa sebiji kurma yang dimakan mengandungi 20-24% air, 70-75% gula, 2-3% protein, serta 8.5 serat (fiber). Dari penelitian tersebut juga diketahui bahawa ruthab (kurma segar yang masak dipohon) dan tamar (kurma masak kering) mengandungi 65-70% air berdasarkan berat bersihnya, 24-58% zat gula, 1.2-2% protein, 2.5 serat, serta sangat sedikit lemak susah larut (lechitine).

Sekian sahaja untuk kali ini, akan disambung tips-tips yang lain pada masa akan datang, insya-Allah. Doakan saya diberi kesihatan dan kesempatan untuk menulis lagi berkenaan tips-tips untuk wanita hamil. Teguran dan penambahbaikan amat dialu-alukan, syukran kerana sudi membaca! J

Rujukan: Buku "Amalan Lengkap Wanita Hamil - Sebuah Ikhtiar Membina Generasi Rabbani" karangan Naylah Mumtazah Majidy diterjemahkan oleh Ahmad Faruq, terbitan Jundi Resources.

Wednesday, 21 May 2014

Penyakit-penyakit 'Exam'

Seringkali musim peperiksaan tiba, ia sering dikaitkan dengan exam fever yang bermaksud demam peperiksaan, tidak ada kepastian yang jelas dari sudut pengistilahan ini. Mungkin perkataan fever yang bermaksud demam sinonim dengan situasi atau musim di satu tempat yang mana sesebuah masyarakat sibuk tentangnya, contoh demam bola dan lain-lain, tetapi post saya kali ini bukan nak bercerita tentang exam fever tetapi yang lain daripada itu. Nak tahu, kenalah baca sampai habis. =)

Post kali ini saya ingin membicarakan tentang musim peperiksaan yang selalu hadir pada akhir sesi pengajian. Pada waktu ini, kita seringkali tidak terlepas dari melakukan perkara yang kadangkala tidak disedari bahawa kita telah dijangkiti 'penyakit exam'! Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit exam?

Penyakit-penyakit exam


Antara penyakit exam yang seringkali dihidapi oleh student ketika musim exam ialah :
1) Burung hantu
-penyakit ini dijangkiti oleh mereka yang sering berjaga malam, bermaksud mereka tidak tidur pada waktu malam dan tidur pula pada waktu siangnya. Mereka mengisi masa dengan membaca buku, terkadang main game kerana diwaktu itu lebih sunyi, tidak ada yang ganggu. Namun ajaibnya selepas sahaja subuh mereka terus senyap sehinggalah tengahari. (tidur berdengkoq..!!)

2) Homesick
-seringkali mereka ungkapkan pada rakan-rakan mereka yang mereka rindukan kampung halaman mereka, nak balik kampung, cerita tentang kehidupan di tempatnya, makanan dan sebagainya. Orang yang seperti ini  ada ubatnya, kita suruh mereka telefon family, minta semangat dan doa untuk exam yang bakal mereka tempuhi. Serius dengan cara ini dapat mengubati homesick yang melanda tu sekaligus menambahkan semangat untuk buat lebih perform dalam exam, insya-Allah.

3) Cinta monyet
-waktu inilah kadang-kadang kita terlihat kawan kita yang kurang perhatian, mulalah cari orang lain untuk mengadu, berkasih sayang, bermesej tidak syari'e dan sebagainya. Kalau dah ternampak tu, cepat-cepatlah tegur mereka ataupun isikan masa dengan perkara yang bermanfaat, study group dan lain-lain. Namun ajaibnya, penyakit ini hilang selepas tamatnya exam!

4) Ulat buku
-yang ini bagus sikit bunyinya tapi awas! Jangan mudah tertipu dengan namanya. Mereka ini golongan yang selalunya sibuk dengan kelas di luar bidang mereka atau mudah ceritanya kelas di luar kuliah (minat dan cinta ilmulah kiranya). Oleh kerana terkadang tiada masa untuk menelaah buku-buku yang mereka beli itu, masa inilah yang mereka cari untuk membacanya sedangkan kalau ikutkan, ada jer masa sebelum ini, cuma tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya. Golongan seperti ini kita tidak perlu halang minat mereka, cuma kita bagi tips atau syorkan kepada mereka cara untuk membaca buku-buku ilmiah ketika exam, antara cara yang boleh dibuat ialah, baca buku tersebut pada waktu selepas selesai satu exam, kalau tak habis, sambung lagi pada setiap malam sebelum tidur dan cara-cara lain yang dirasakan efektif.

5) Cerek dan ais
-seperti perkataan di atas cerek digunakan untuk masak air dan sifatnya pula panas dan memanaskan. Samalah seperti orang yang ketika musim exam ini, sangat sensitif, selalu jer nak marah dan ada jer benda yang tak kena. Mereka yang seperti ini kita layan mereka biasa-biasa saje, tak payah nak diikutkan marah mereka tu, suruh istighfar banyak-banyak kerana syaitan suka mengganggu orang yang suka marah, suruh ambil whudu' dan sebagainya. Ok, yang ais ni pula sifatnya cool, sejuk sepanjang masa, bukan dingin tapi sejuk! Cool adalah perkataan yang sesuai, mereka ini hidup seperti dalam dunianya sahaja, duduk dalam bilik, terperap jer, hanya keluar bila ada keperluan. Study pun rilek-rilek jer, kadangkala waktu tidur pun tak menentu, adakala pagi, adakala malam, pergi exam pun nampak mereka lebih tenang berbanding kita yang memang kalut study ni (sebab banyak lagi tak cover). Kadangkala, golongan seperti ini yang dapat result gempak bila keputusan exam keluar. Kalau jumpa orang yang macam ni, minta mereka doakan kita dan belajar juga dari mereka bagaimana mereka study.

Kalau ada lagi yang nak tambah silakan. Penyakit-penyakit ni dikesan dan jelas ketika musim exam sahaja. Lepas exam macam biasa, tapi kita ni takkan nak jadi biasa-biasa jer, mestilah lain dari yang biasa, bangaimana nak jadi lain dari yang biasa? Persoalan ini saya tinggalkan untuk saya dan anda menjawabnya. Terima kasih kerana sudi membaca dan melawat blog ini. Semoga kita semua mendapat natijah yang baik dan kejayaan pada peperiksaan kali ini dan seterusnya. Selamat study semua..!! Ganbatte na..!!

Monday, 12 May 2014

Have faith with Him!

oral exam pharmacology

Masuk sahaja ke dalam bilik itu, professor kami bertanya,"Are you ok living in this revolution country?"

Salah seorang sahabat saya menjawab,"Alhamdulillah, we are ok, but i'm a little bit nervous today."

Prof bertanya,"Why are you nervous?"

Sahabat saya membalas, "Because we have oral exam today. (^_^)' "

Prof saya menjawab,"No, you don't have to be nervous, have faith with Him. =)"

Deep, indeed!

Selesai peperiksaan hari ini, saya dan dua orang sahabat lagi pergi menjamu selera di Restoran Nil, kami berbincang mengenai peperiksaan tadi dan ditakdirkan Allah sehinggalah perbincangan kami termasuk kepada pengertian maksud perkataan prof kami tadi.

Sahabat saya berkata,"Betul kata prof tadi, yelah, kadang-kadang kita ini terlalu bergantung kepada usaha kita sehingga terlupa bahawa kejayaan itu Allah yang bagi sehingga terlupa untuk bergantung kepada Allah."

Ya, usaha juga dari Allah, kejayaan juga dari Allah, rezeki kita pun Allah dah jamin. Terdapat satu hikmah yang diajarkan oleh Syeikh Ibnu 'Atoillah as-Sakandari rahimahullah yang disebutkan juga oleh Syeikh Yusry hafizahullah bahawa hendaklah kita menumpukan pada perkara yang dituntut untuk kita berusaha (belajar) dan bukan menumpukan pada perkara yang telah ditetapkan kepada kita (rezeki).

Berusahalah yang termampu, Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar rayuan hamba-hamba-Nya. Tidak Allah persiakan usaha kita selama ini selagi kita tidak syirik dan mematuhi syariatnya. Terkadang insan terlupa, hanyut alpa dalam kehinaan, pohonlah ampun pada-Nya, kembalilah kepada-Nya.

Allah Maha Baik, memberi teguran kepada kita melalui hamba-hamba-Nya. =')

*Pengajaran yang amat bermakna hari ini, menuju peperiksaan mcq dan amali pula (Khamis,15/52014), insya-Allah.

Sunday, 4 May 2014

Akhi Aman Dx Dalam Kenangan

Hari ini (Ahad) genaplah 2 minggu kepulangan akhi aman ke rahmatullah (Ahad, 20 April 2014, ikuti post saya yang terdahulu mengenai beliau di sini). Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai pemergiannya, hal ini kerana setiap diri masing-masing yang mengenali beliau ada kisah bersamanya, cukuplah dengan bukti bahawa Allahyarham akhi Aman sangat disenangi pelbagai lapisan orang dan kebaikannya meluas sehinggakan sesiapa yang bersamanya pasti turut merasai kebaikan daripadanya.

Antara coretan dan komen daripada sahabat-sahabat mengenai beliau yang sempat disiarkan di laman Facebook :-








Penghormatan terakhir daripada Ustaz Hazmi Dibok buat Allahyarham akhi Aman.


Dirimu seorang sahabat, teman, murabbi yang sejati, kehilanganmu pasti dirasai. Semoga engkau ditempatkan bersama para kekasih-Nya dan para solehin dan semoga kita dapat bertemu lagi disyurga-Nya, insya-Allah.

Marilah bersama kita melafazkan kalimah al-istirja' (innalillahi wainna ilahi raji'un) dan menyedekahkan al-fatihah buat beliau.

*Sebahagian nama pemilik profile FB diblurkan untuk tujuan privacy.

Sunday, 27 April 2014

Berukhuwah di 'Ain Sukhna

Bismillah...

Ini cerita semalam (Sabtu, 26 April 2014), kami batch Gen 2 ikhwah hampir semua pergi ke jaulah 'Ain Sukhna (sebahagian daripada kami ada urusan seperti kelas, tuisyen, ada yang menjadi pimpinan serta tugasan-tugasan yang lain), kira-kira 1 jam 30 minit dari Kaherah. Seronok dapat berkumpul bersama satu batch, mungkin ada yang tahu dan mungkin ada yang belum tahu yang saya ni batch Gen 2. (ok, tak penting sangat pun.)

Ceritanya bermula seminggu sebelum jaulah, ketua batch kami, saudara Dawodt Khan merancang untuk mengadakan jaulah supaya dapat kami berkumpul sambil berukhuwah meraikan sahabat-sahabat yang sudah lama tidak berjumpa walaupun satu batch. Hal ini disebabkan batch tahun 5 dipisahkan kepada 2 kumpulan, ada yang belajar di Hospital Hussein dan ada juga yang belajar di Hospital Syed Galal, yang lain ada yang mengulang tahun. So, jaranglah kami semua dapat ketemu bertemu mata, melainkan adanya aktiviti batch seperti ini dan juga futsal.

Kami bertolak dari Kaherah ke Ain Sukhna pada pagi itu bermula 7.15 pagi dan sampai pada pukul 9 pagi. Aktiviti di mulakan dengan barbekiu, membakar ayam dan hot dog (sosej). Kemudian, sebahagian daripada kami turun mandi-manda di laut dan bermain futsal di pantai, sungguh menyeronokkan, sudah lama kami tidak bermain bola bersama. Tidak lama selepas itu ayam pun siap dibakar, kami makan bersama-sama dan turun ke laut sekali lagi selepas makan. Air laut di sini kian surut, kurang faham kenapa tapi mungkin disebabkan cuaca yang panas. Aktiviti mandi manda berakhir pukul 2.30 petang, kami membersihkan diri sambil mempersiapkan diri untuk solat dan kami pun solat jamak taqdim berjemaah.

Gambar kenangan di 'Ain Sukhna

Sambil menunggu ayam barbekiu masak

Tepat pukul 3 petang, kami pun mula mengangkat barang dan pulang ke Kaherah. Sampai di Kaherah pada pukul 5.50 petang. Alhamdulillah, pengalaman yang sangat menyeronokkan walaupun jarang-jarang diadakan, saat berkumpul dan berukhuwah bersama tetap menjadi kerinduan kami semua dan apabila bercerita tentang ukhuwah di dalam Islam, ia bukan hanya sekadar berteori malah lebih kepada praktikal sama-sama cakna dengan sahabat satu batch bahkan ukhuwah yang melangkaui sempadan batch, universiti, kaum, bangsa dan tanah air.

Semoga perkumpulan seperti ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang. Buat sahabat-sahabat yang bakal menduduki peperiksaan akhir tahun, teruskan usaha, letakkan pergantungan pada Allah dan semoga mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Seeru 'ala barakatillah. =)

Thursday, 24 April 2014

Korban Usia Muda

Dia langsung tidak terfikir memulakan berdakwah menerusi media baru seperti Facebook dan Twitter serta media elektronik televisyen dan radio. Apa yang bermain di fikiran Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Joofre, 33, sebaik menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Syariah (Feqh Perbandingan Mazhab) di Mesir, hanya ingin turun ke masjid, surau serta majlis ilmu bagi berdakwah.

Semuanya bermula sebaik saja pulang ke Malaysia selepas hampir 12 tahun merantau di Mesir. Ketika itu buat kali pertama dia muncul di kaca televisyen dalam program berita menyebabkan banyak tawaran diterima untuk muncul dalam beberapa program keagamaan, antaranya Tanyalah Ustaz dan Hujah di TV9 serta Assalamualaikum juga Muhasabah Diri di TV Al-Hijrah.

Dari situ, Syed Abdul Kadir bertemu dengan kumpulan nasyid UNIC yang mempelawa untuk menerbitkan album berbentuk dakwah.

“Saya katakan, sekiranya menerusi muzik mampu memberikan sesuatu kepada masyarakat, sekali gus mengajak mereka mencintai Allah dan Rasulullah, ia ternyata cukup bermakna,” katanya yang turut menjadi penasihat syariah UNIC serta muncul dengan album pertama Ratib Al-Hadad serta album kedua bertajuk Doa.

Tidak cukup dengan itu, Syed Abdul Kadir menjadi lebih kreatif menyampaikan dakwah apabila muncul dengan inovasi dakwah terkini menerusi nada dering pemanggil berbentuk tazkirah.

Jelasnya, himpunan lapan tazkirah diberi nama Bersama Kekasih merujuk kepada adab dan sunah Rasulullah yang akan kedengaran oleh pemanggil apabila mendail nombor pelang­gan. Walaupun nampak seakan-akan remeh, ia meninggalkan kesan cukup mendalam kepada pendengar terutama bagi yang mendapat manfaatnya. Ini kerana perkataan kebaikan yang diulang-ulang lama-kelamaan akan menjadi doa dan diharap memberikan sesuatu kepada masyarakat.

Bagi Syed Abdul Kadir, apa saja bentuk dakwah akan dilakukannya bagi mengisi saham akhirat. Dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi maklumat, pendakwah harus kreatif dan berinovasi bagi menarik khalayak yang mempunyai satu aliran dan tujuan hidup yang sama.

“Pendakwah hari ini tidak lagi boleh menggunakan cara lama untuk berdakwah, sebaliknya harus mengikut arus dan perkembangan teknologi maklumat. Cara ini mampu menarik lebih ramai khalayak pendengar yang mempunyai tujuan hidup yang sama,” jelasnya.

Mengenai kebangkitan ramai pendakwah muda yang aktif dan interaktif menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai, pantas dia memberitahu, hanya orang muda mengenali orang muda. Selain mempunyai corak pemikiran serta jiwa yang sama, pendakwah muda menerusi media sosial seperti Facebook, blog dan Twitter serta terkini menerusi muzik memberi lebih peluang kepada golongan ini mendekati remaja dan belia, sekali gus menyampaikan dakwah mereka.

“Perkembangan teknologi maklumat memberi peluang kepada pendakwah menyampaikan mesej keagamaan mereka dengan lebih cepat. Ini sesuatu yang bagus kerana remaja kini menggunakan media baru untuk bersosial seperti Facebook, Twitter, Instagram serta menonton televisyen.

“Sebagai pendakwah kami harus menyelami cara mereka berfikir untuk berdampingan seterusnya menyampaikan mesej kebaikan,” katanya yang mula menggunakan blog sebagai medium dakwah pada 2004 sehingga 2006 (boleh rujuk blog terawal beliau Aljoofre Meredah Usia) , kemudian beralih kepada Facebook lantaran pembaca muda lebih menggemari ayat ringkas serta bahasa mudah berbanding blog kerana lebih panjang dan berilmiah (boleh follow beliau di 'Profile' peribadinya dan like di 'Page'nya).

Menyingkap pembabitan dalam bidang dakwah, jelas anak keempat daripada tujuh beradik ini, sejak kecil dia sudah meminati bidang keagamaan. Walaupun ayah bukan seorang ustaz dan berkhidmat sebagai jurutera, dia sering membawa anak-anaknya ke masjid untuk bersolat dan mendengar ceramah agama. Malah ini berterusan apabila ada jemputan untuk majlis ilmu, ayahnya tidak lokek membawanya bersama.

“Saya masih ingat sejak di sekolah rendah saya kerap mengikut ayah ke masjid bagi mendengar ceramah agama. Lama-kelamaan saya mula meminati bidang dakwah dan berazam menyambung pengajian di Mesir,” ujarnya yang memiliki darah Arab daripada ayah dan ibunya yang berasal dari sana.


Erti pengorbanan

Menyingkap maksud pengorbanan sesuai dengan kedatangan Hari Raya Korban ini, Syed Abdul Kadir mempunyai tafsiran sendiri iaitu melakukan sesuatu di luar zon selesa. Malah kehebatan seseorang dapat dilihat apabila dia sanggup keluar daripada zon selesa semata-mata mendapat keredaan Allah.

“Untuk menjadi hamba-Nya yang berjaya, perlu berkorban kerana ia lambang ketakwaan dan keimanan kepada Allah. Tetapi hari ini tidak ramai sanggup mengorbankan hal dunia untuk mendapat akhirat. Konsepnya sama seperti gaji yang diperoleh pada setiap bulan.

“Walaupun hanya diterima pada hujung bulan, ramai yang sanggup bekerja bersungguh-sungguh. Keadaan ini berbeza dengan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah. Lantaran tidak nampak, tidak ramai sanggup melakukannya,” jelasnya.

Menurut Syed Abdul Kadir, ketika remaja dia sanggup mengorbankan masa remaja semata-mata mendapatkan ilmu. Jika rakan rajin me­ngunjungi pusat beli-belah, menonton wayang atau berhibur dengan teman wanita, namun zaman remajanya hanya dikelilingi buku dan belajar al-Quran.

“Bayangkan saya hanya tidur tiga jam sehari selebihnya digunakan untuk mempelajari ilmu agama. Namun saya tidak menyesal kerana apa yang saya lakukan suatu ketika dulu begitu memberi manfaat pada hari ini,” katanya yang memiliki perwatakan lembut serta mudah diajak berbual.

Mengambil contoh pengorbanan dilakukan ulama terdahulu, Imam Syafie yang menempuh pelbagai cabaran mengembangkan syiar Islam, jika dibandingkan pendakwah kini yang hidup mewah, memiliki kenderaan untuk bergerak, ia sememangnya jauh lebih baik.

“Memang saya suka membaca kisah nabi serta pengorbanan sahabat nabi dan ulama menyampaikan syariat Islam. Walaupun serba kekurangan, mereka boleh melakukannya, justeru ini seharusnya dijadikan inspirasi serta semangat menjadi lebih baik daripada mereka,” ujarnya.


Terapkan pendidikan Islam pada anak

Memiliki tiga cahaya mata hasil perkahwinan dengan Sharifah Wafa’ Alhadad, jelas Syed Abdul Kadir, dia memilih pendidikan Islam dengan menghantar anaknya ke sekolah tahfiz sains supaya mereka dapat mempelajari asas al-Quran tanpa meminggirkan akademik.

Ketiga-tiga anaknya Syed Abdul Rahman, 7, Sharifah Sumayyah, 4, dan Sharifah Zainab, 2, dilahirkan di Singapura dan memiliki asas kukuh menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Jadi apabila pulang ke Malaysia, dia bersama isteri mula mencari sekolah yang tidak jauh berbeza namun menitikberatkan asas al-Quran dan bidang sains sebagai cabang ilmu.

“Apabila tamat pengajian, terpulang kepada mereka sama ada memilih matematik, bahasa atau sains dalam pekerjaan. Perkara paling asas adalah memperkuatkan akidah mereka supaya walaupun datang pelbagai cabaran, anak-anak akan
kekal menjalani kehidupan mengikut cara Islam,” jelasnya.

Mengambil contoh bagaimana nabi mendidik anak-anak , ibu bapa memainkan peranan penting menunjukkan contoh terbaik kepada mereka. Ini kerana di rumah ibu bapa menjadi contoh paling dekat, jadi segala perbuatan dan tingkah laku akan diikuti mereka.

Selain menyampaikan ceramah agama di seluruh negara, dia turut memenuhi undangan berdakwah di luar negara seperti Jepun, India, Thailand, Singapura, United Kingdom, Ireland, Singapura dan Mesir.

Peluang menetap di Mesir selama 12 tahun memberikan pengalaman berbeza. Di setiap negara yang dilawatinya menyimpan sejarah serta budaya berbeza. Bukan saja dari segi makanan tetapi keunikan budaya dan cara hidup.

“Jepun misalnya dikenali sebagai masyarakat bersopan santun dan kuat bekerja. Negaranya pula bersih dan kaya dengan budaya tersendiri. Berbeza dengan India yang dikenali sebagai negara yang kurang bersih dan ramai penduduk memberikan tafsiran berbeza kepada saya. Paling terkesan dan meninggalkan kenangan bermakna adalah ketika berada di Mesir,” ujarnya.

Bercerita mengenai impian, dia berharap dapat melahirkan lebih ramai pendakwah kreatif, muda dan matang yang akan memberi kebaikan kepada masyarakat dan umat Islam. Namun dalam keghairahan melahirkan lebih ramai pendakwah muda, usah dipinggirkan mereka yang sudah berusia kerana tanpa yang lama tiadalah yang baru.

“Kerjasama erat antara golongan muda dan berusia mampu memberikan semangat serta ilmu yang lebih meluas kepada masyarakat,” ujarnya yang memasang impian menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah sedikit masa lagi.

*Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofre merupakan Ajk Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sesi 2013-2015 dan beliau kini banyak berceramah serta turut terlibat dalam misi kemanusiaan bersama Muslim Care. Artikel ini dipetik dari Harian Metro bertarikh 11 Oktober 2013. Boleh rujuk linknya di sini.

Tips Menulis

Oleh: Dr. Azman Ibrahim

Gambar Dr. Azman Ibrahim di sebelah kiri

Saya kongsikan beberapa tips kenapa kita perlu menulis dan bagaimana kita nak menjadi seorang penulis yang baik. Maksud saya, menulis apa sahaja topik yg berguna dan bermanfaat. Malam ni saya bagi 4 dulu...

1. Tengoklah Imam Shafie, Imam Malik, Imam Nawawi, Ibnu Taimiyyah, Dr Yusuf Qaradhawi, Hassan Al Banna, Syed Qutb, Imam al Ghazali, Ibnu kathir dan ramai lagi kalau saya nak list. Apa yang mereka tinggalkan dan kita ambil manfaat darinya? Bukankah dari buku-buku yg ditulis. 

Kita tak bercakap tentang ulama silam yg tak sezaman dgn kita, malah Yusuf al-Qaradhawi yg sezaman dgn kita pun tak pernah kita temui. Dari mana kita tumpang ilmu beliau? Jawabnya dari buku-buku tulisannya.

2. Menulis akan menuntut kita untuk terus mengkaji dan menggali ilmu agar ianya dapat dikongsi dalam penulisan. Bukankah dgn mengkaji bermakna kita sentiasa berusaha menambah ilmu.

3. Sebuah buku yg ditulis mungkin akan kekal utk 50 tahun atau 100 tahun akan datang. Dibaca oleh cucu cicit kita. Kalau saya sebagai cucu, karya datuk saya adalah suatu yg sangat bernilai bagi saya walaupun mungkin tidak bagi org lain.

4. Menulis dari hati dan pengalaman sendiri tak sama dgn orang yang berteori. Seorang penulis buku motivasi yang mengajak orang lain menjadi berani, belum tentu dia sendiri seorang yg berani. Tetapi tulisan seorang pejuang yg terbukti keberaniannya di medan juang jauh lebih bernilai dan bermakna serta menusuk hati pembaca.

Pakar motivasi yg mengajak orang lain menjadi tabah, belum tentu dia sendiri boleh bersabar dengan keperitan hidup, tetapi seorang yang telah melalui hidup yang penuh keperitan kemudian menulis apa yang pernah dilaluinya untuk dikongsi dengan orang lain, kita akan mendapati apa yg ditulisnya penuh kemurnian dan kejujuran serta berpijak di alam nyata...

*Dr. Azman Ibrahim merupakan Ajk Badan Perhubungan PAS Terengganu dan merupakan seorang doktor gigi. Beliau selalu menulis di blognya di sini.

Wednesday, 23 April 2014

Pengalaman Belajar Dan Mengajar

Assalamualaikum, apa khabar semua?

Harapnya kalian berada dalam keadaan sihat walafiat, post kali ini saya ingin menceritakan sedikit pengalaman saya bersama professor-professor yang mengajar kami sepanjang berada di Universiti al-Azhar.

Dr. Hassan adalah doktor yang mengajar kami subjek Pharmacology, cara beliau mengajar sangat 'simple'. Cara beliau mengajar, beliau akan tekankan topik mana yang penting dan meminta kami untuk mengulang pembacaan dan menghafal nama-nama 'drug' tersebut.

Selain Dr. Hassan, terdapat Dr. Abd el-Naby, doktor ini mengajar subjek Pathology, di akhir kelas beliau selalu bertanya sama ada kami ada persoalan atau tidak, ini amat penting. Pengalaman saya menjadi guru tutor banyak mengajar saya erti menjadi seorang cikgu. Persoalan daripada murid-murid sangat penting untuk menunjukkan sama ada mereka berusaha untuk memahami sesuatu subjek itu atau pun tahap kefahaman murid terhadap pembelajaran yang kita sampaikan. Tambahan lagi, ia menambahkan keyakinan kita untuk terus mengajar dan saya mengaku adakalanya saya tidak tahu tentang sesuatu maka saya sebut kepada murid saya, saya tidak tahu dan akan berusaha mencari jawapannya. Perkara adab antara murid dan guru dan juga guru dan murid sememangnya tiada terpisah kerana kita masing-masing membawa amanah ilmu.

Kembali semula dengan Dr. Abd el-Naby, saya sangat suka dengan cara doktor ini walaupun kadangkala, beliau menghadapi kesukaran bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi kami dapat memahaminya dengan baik. Dan salah satu kebaikan doktor kami ini, beliau tidak akan meneruskan kuliah dan memberhentikan sahaja apabila melihat muka kami yang dah agak 'letih', kuliah dari pagi, beliau amat memahami, mungkin juga kerana beliau pernah berada di tempat kami memahami kehidupan sebagai seorang pelajar medik.

Doktor yang mengajar kami subjek pathology lagi antaranya Dr. Samy, beliau sangat menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran beliau di dalam kuliah. Habis satu subtopik yang diajar beliau akan bertanya,"Do you understand what i teach about?" Kadang-kadang, beliau bertanya di tengah-tengah pembelajaran, suka dengan cara doktor ni, kalau kita tidak faham tentang sesuatu yang diajarnya, beliau akan ulang sampai kita faham apa yang kita tanya tu.

Seperti kebiasaannya, kalau belajar di al-Azhar, doktor-doktor kami akan menyelitkan perihal agama, kadang-kadang mengaitkan perkara yang diajar dengan ayat al-Quran, memberi nilai tambah kepada kami sebagai bakal graduan Universiti al-Azhar. Insya-Allah.

Gambar kenangan bersama Dr. Muaz yang mengajar kami subjek Microbiology (tengok muka sorang2, ceria jek semua, ahakz!)

Setakat ini sahaja, semoga bertemu lagi di post yang lain (insya-Allah), syukran kerana sudi membaca! =)

Sunday, 20 April 2014

Hikmah Di Sebalik Sebuah Kematian

Bismillah...

Post kali ini berkaitan seorang sahabat saya, (Allahyarham) akhi Aman yg baru sahaja kembali ke rahmatullah hari ini (Ahad, 20 April 2014).

Terkejut, sedih, semuanya ada bercampur-baur perasaan ini.

Hari ini ketika membaca ayat Al-Quran, terhenti seketika pada ayat ini :

قُل لاَّ أَمْلِكُ لِنَفْسِي ضَرّاً وَلاَ نَفْعاً إِلاَّ مَا شَاء اللّهُ لِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ إِذَا جَاء أَجَلُهُمْ فَلاَ يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُونَ


Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya". (Surah Yunus : ayat 49)

Benarlah Firman Allah SWT Yang Maha Agung Lagi Maha Mengetahui.

Saya dan ramai lagi sahabatnya antara yang menjadi saksi bahawa Allahyarham Aman adalah seorang lelaki yang soleh. Hidupnya selalu membantu manusia sekilingnya. Selalu hadir program tarbiyah dan sangat berkomited dalam menjalankan kerja persatuan.

Subhanallah!

Alangkah indahnya sebuah kematian diiringi doa dan perkataan-perkataan yang baik dari manusia tentangnya.

Perkara inilah yang terkadang kita lupakan, kematian, usah fikir bila kita mati tapi berfikirlah tentang bagaimana persiapan kita untuk mati. Mati bukanlah pengakhiran sebuah kehidupan, tetapi mati adalah transisi kita untuk perjalanan kehidupan yang seterusnya iaitu alam akhirat yang kekal abadi.

Tidak semua yang kita sangka baik untuk kita adalah baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya, tetapi apa yang telah Allah tentukan pastinya yang terbaik untuk kita dan mempunyai hikmah yang tersendiri.


وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ 
أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاء وَالضَّرَّاء وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ 

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (Surah Ali 'Imran : ayat 133-144)


Kenangan bersama Allahyarham ketika menghadiri program tarbiyah.
Dari kiri Hasbullah, (Allahyarham) akhi Aman, Izofi, Fariq, Fawwaz.

Berusahalah untuk mendapat keampunan Allah dan syurga-Nya tempat asal kita dan tempat kita dapat bertemu dengan-Nya. Kita tidak tahu bila kita akan mati, tetapi mati itu pasti, berbuatlah perkara kebaikan dan jauhi kemungkaran, selagi hayat dikandung badan.

Innalillahi wainna ilaihi raji'un. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Al-Fatihah buat Allahyarham akhi Aman.

Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak




Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan meneliti maklumat serta bukti-bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudharatan besar yang dihadapi akibat daripada shisha terhadap kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi pada masa akan datang, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa shisha adalah HARAM. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan shisha.

Muzakarah menegaskan bahawa pengharaman Shisha ini adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan Hadith serta Kaedah Fiqhiyyah bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara sepertimana tuntutan syarak, kerana Shisha jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji, berdasarkan nas-nas berikut:
Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 :

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157;

“ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Tidak boleh mudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain)”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

Kaedah Usul Fiqh:

سد الذريعة - iaitu “Menutup pintu kerosakkan”
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح – iaitu “menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”.

Rujuk Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan hukum sisha di sini.